Pages

Thursday, October 10, 2013

Perkukuh Islam kekuatan Melayu




Globalisasi yang berlaku ketika ini menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Masyarakat semakin mudah mendapat maklumat yang belum ditapis yang penuh dengan unsur negatif yang meresap dalam hati dan minda.

Orang muda mudah terpengaruh dengan budaya yang mementingkan keseronokkan daripada pelbagai aspek dan bentuk seperti nyanyian, pemakaian, pemakanan dan juga percakapan. Pendek kata, proses globalisasi yang dikehendaki adalah mengikut acuan kita sendiri dan berlaku mengikut kehendak kita.


Proses globalisasi politik sekarang sangat pantas meresap dalam pemikiran dan gaya hidup yang juga dimanipulasikan oleh kuasa-kuasa Barat. Apa yang jelas yang menjadi tabiat kepada manusia, adalah perkara buruk mudah menjadi ikutan.

Justeru itu bangsa terutamanya Melayu perlu kembali kepada asas ajaran agama Islam dalam usaha mengembalikan perpaduan ummah, sekali gus mengelak berlakunya perpecahan dan permusuhan sesama mereka seperti tercetus di beberapa negara Islam di seluruh dunia kerana perbezaan ideologi.

Pencapaian hebat Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi apabila berjaya menyatukan puak yang berperang, bagi mewujudkan keharmonian pada zaman kegemilangan baginda.

Kehebatan Rasulullah perlu dijadikan inspirasi dalam mewujudkan semula keharmonian dalam dunia Islam yang kini berpecah, dengan umat Islam saling bermusuhan dan berbunuhan sesama sendiri.


Sebagai benteng yang kuat dalam apa juga kegiatan baik politik, budaya dan ekonomi, peranan budi bahasa dan akhlak yang diwarisi sejak turun-temurun yang menjadi budaya Melayu dan tamadun Islam seharusnya menjadi landasan.

Pembangunan dan kemajuan yang sempurna juga mestilah seimbang antara kerohanian dan kebendaan. Kembalikan Melayu Kepada Islam, Tanpa Islam Hilanglah Melayu.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...