Pages

Friday, October 11, 2013

Bertekad arus perdanakan ulama dalam parti




UTUSAN: Atas dasar apa Datuk menawarkan diri untuk menjadi Exco Wanita UMNO?

MASHITAH: Perjuangan UMNO adalah berasaskan 'alif, ba, ta' (agama, bangsa dan tanah air). Sebagai sebuah parti yang dinamik dan progresif, UMNO adalah fleksibel dan boleh membuat perubahan dari segi pendekatan mengikut tuntutan keadaan, persekitaran dan cabaran yang dihadapi, tetapi dari segi prinsip, perjuangan UMNO tidak pernah berubah. Kita berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Maka golongan agama perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab ini sebagai fardu kifayah.

Sejarah UMNO menunjukkan bahawa golongan intelektual agamawan membantu mengimbangi dan memantapkan parti. Golongan ini juga amat diperlukan untuk berdepan dengan pelbagai dakyah dan hujah pembangkang, khususnya Pas. Pelbagai isu yang mengelirukan, fatwa songsang dan propaganda bahaya perlu ditangkis dengan bijak, berhemah dan menyakinkan.


Berbekal latar belakang dalam bidang agama, pengalaman sebagai pensyarah dan perkhidmatan dalam kerajaan serta pembabitan saya dalam aktiviti politik, dakwah dan pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekian lama, saya turut menawarkan diri untuk bersama-sama barisan kepimpinan Wanita UMNO demi meneruskan perjuangan parti.

Ketika berada dalam kerajaan khususnya Timbalan Menteri, ada pihak mendakwa Datuk tidak melakukan apa-apa dalam membantu Wanita UMNO, apakah komen Datuk?

MASHITAH: Sebagai Timbalan Menteri, bidang tugas saya sudah ditentukan. Saya perlu memberi banyak perhatian kepada agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Untuk Wanita UMNO, ruang saya berkhidmat hanya di Baling sebagai Ketua Wanita. Kerana itu, saya sekarang berhajat untuk bersama-sama saf kepimpinan Wanita UMNO untuk memberi khidmat dan mendapat peluang memberi sumbangan lebih besar kepada parti.

Tidakkah Datuk fikir isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu baru-baru ini akan menggugat peluang Datuk?

MASHITAH: Adat politik pasti ada yang dengki dan ingin menjatuhkan. Saya tidak rasa isu yang dibangkitkan seorang individu baru-baru ini menggugat saya kerana rata-rata di Baling, orang kenal siapa peribadi itu, akhlaknya dan latar belakang beliau. Kerana itu, saya tidak gusar.

Apakah sumbangan yang boleh Datuk berikan jika terpilih sebagai Exco Wanita?

MASHITAH: Saya komited dengan agenda transformasi dalam politik bagi menangani isu-isu penting serta cabaran semasa dan mendatang. Insya-Allah, jika diberi peluang dan kepercayaan, antara perkara utama yang akan saya beri perhatian ialah soal hak dan kebajikan wanita terutama golongan ibu tunggal muda dan warga emas, membina jati diri dan keyakinan mereka untuk berdikari serta membantu kes-kes keganasan rumah tangga.

Saya juga ingin memberi perhatian yang lebih kepada golongan mualaf khususnya berkaitan pembelaan hak dan pemantapan akidah, serta mengarus perdana golongan ulama dan guru pondok.

Apakah pesanan Datuk kepada perwakilan Wanita UMNO dalam mereka membuat keputusan memilih barisan kepimpinan pergerakan itu kali ini?

MASHITAH: Pada 12 dan 19 Oktober ini, kita memilih pemimpin, bukan kawan, saudara mara atau kerana budi. Silap memilih pemimpin akan membawa bencana. Pesan Nabi: "Jika kamu sandarkan kepimpinan kepada yang bukan layak, nantikan kehancuran bangsamu".

Maka buatlah pertimbangan terbaik dan pilih pemimpin yang diyakini boleh membawa perubahan bermakna dan berimpak agar UMNO terus relevan dan kuat. Ada orang berpandangan bahawa pemimpin yang lemah bagi parti yang kukuh adalah lebih baik daripada pemimpin yang kuat bagi parti yang lemah dan berpecah belah. Pada saya, ini bukan satu pilihan. UMNO mesti lahirkan kepimpinan yang kuat kerana ini akan menjadikan parti kuat. Kita tidak akan kalah jika parti kita kuat. Oleh itu, kita kena pilih mereka yang mampu memberi kepimpinan yang kuat.


- Utusan Malaysia

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...