Tuesday, November 16, 2010
Konsensus Bebas dakwa MB Selangor tidak cekap mengurus dan mentadbir hal ehwal kewangan negeri
Konsensus Bebas yang dianggotai oleh bekas2 ahli-ahli parlimen pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya bertanggungjawab di atas ketidakcekapan dan kelemahan mengurus dan mentadbir hal ehwal kewangan negeri.
Selain itu, Konsensus Bebas yang dianggotai oleh Datuk Seri Zahrain, YB Zulkifli Noordin, YB Mohsin, YB Tan Tee Beng dan YB Choo Keong itu mendesak selantang-lantangnya agar sebuah firma audit yang profesional dan bebas dilantik untuk menjalankan kerja-kerja audit bagi SEMUA agensi-agensi kerajaan negeri Selangor. Laporan audit ini mestilah dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri serta dibawa ke pengetahuan masyarakat umum, khasnya rakyat negeri Selangor.
“Jika kerajaan sebelum ini dituduh membazir kerana menaja lawatan-lawatan ke luar negara, bagaimana pula dengan pembaziran-pembaziran yang sedang berleluasa kini? Di manakah perubahan yang diwar-warkan sebelum mengambil-alih tampuk pemerintahan negeri?” menurut kenyataan yang dikeluarkan mereka.
Di dalam kenyataan bersama mereka itu, mereka turut melahirkan sokongan penuh keputusan DYMM Sultan Selangor untuk tidak hadir ke jamuan makan tengah hari anjuran Yayasan Selangor yang didakwa menelan belanja hampir RM800,000. Baginda mengambil tindakan sedemikian sebagai tanda murka kepada pembaziran yang kian menjadi-jadi di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Khazanah Selangor Bhd., Menteri Besar Inc. dan Yayasan Selangor.
Yayasan Selangor ditubuhkan sebagai satu badan kebajikan pelajaran untuk anak-anak Selangor. Menurut Konsensus Bebas, mereka difahamkan RM800,000 boleh membiayai 3,600 pelajar sekolah menengah untuk tempoh 5 tahun.
“Pembaziran ini lanjutan daripada perbelanjaan seperti pembelian kereta-kereta mewah, majlis berbuka puasa yang menelan kos RM170,000, majlis Hari Raya yang menghabiskan RM320,000 dan lain-lain lagi. Perbelanjaan besar untuk tujuan-tujuan yang tidak perlu ini dilakukan ketika atau selepas penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap atas alasan kekurangan wang,” tambah mereka.
Selain itu, mereka juga mendedahkan pembaziran dana sebanyak RM9.6 juta yang digunakan oleh PKNS untuk menyewa ruang pejabat. PKNS juga didakwa, dan setakat ini tidak menafikan, berbelanja RM520,000 untuk menaja perkahwinan angkasawan negara.
Menurut mereka, itu hanyalah contoh yang sudah diketahui umum iaitu: perbelanjaan tak terkawal yang tidak rasional, dan pembaziran sumber kewangan di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri Selangor.
“Yang masih tersorok dan tersembunyi mungkin akan menambahkan kemarahan rakyat negeri Selangor sekiranya dibongkar,” tambah mereka.
Mereka juga mempertikaikan kenyataan Menteri Besar yang juga pengerusi Yayasan Selangor bahawa beliau tidak tahu-menahu majlis makan tengah hari anjuran yayasan tersebut memakan belanja yang tinggi. Menurut mereka, ianya adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan menghairankan.
“Adakah munasabah kelulusan diberi tanpa pengerusi mengetahui kosnya terlebih dahulu? Adakah budibicara sepenuhnya diberi kepada pengurusan yayasan untuk berbelanja apa sahaja tanpa kawalselia yang sewajarnya oleh pengerusi dan lain-lain pemegang amanah? Apakah kaedah pengurusan sebegini sebahagian dari ciri-ciri seorang pengerusi yang cekap dan kompeten?” soal mereka.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment