Thursday, September 12, 2013
'Mereka Berhak Untuk Memakai Tudung'
KUALA LUMPUR: Wanita Islam, seperti semua wanita lain di Malaysia, juga mempunyai hak untuk dilayan sama rata dan ini termasuklah hak untuk memakai tudung waktu bekerja.
Menurut jurucakap Sisiters In Islam, Suri Kempe, polisi pekerjaan yang menghalang atau tidak menerima pekerja wanita Islam yang bertudung adalah satu diskriminasi dan tidak seharusnya berlaku di nagara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.
"Itu adalah diskriminasi terhadap wanita Islam, seperti semua wanita lain di Malaysia, mereka juga mempunyai hak untuk dilayan sama rata," kata beliau ketika diminta mengulas tentang laporan Malaysian Digest tentang seorang wanita, dikenali sebagai Ira, 24, yang mana permohonannya kerjanya ditolak kerana bertudung.
"Ia sepatutnya bebas daripada diskriminasi dan prasangka, dan tiada sekatan kepada apa yang mereka perlu dan tidak harus pakai.
"Bukan sahaja kepada wanita Islam malah bukan Islam juga berhak untuk mengamalkan kepercayaan mereka," jelasnya kepada mD.
Jelasnya, hal itu tidak sepatutnya berlaku kerana pakaian tidak menggambarkan kebolehan seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang dipohon.
Pendakwah bebas, Datuk Daud Che Ngah menyelar tindakan beberapa kedai pakaian di KLCC yang menolak permintaan perkerjaan wanita bertudung.
Katanya perbuatan syarikat itu dianggap tidak releven kerana sebagai individu yang lahir dan tinggal di Malaysia maka mereka berhak untuk mengamalkan tuntutan agama.
"Mereka tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa perlu asingkan mereka. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat", tegasnya.
Beliau tidak bersetuju dengan tindakan majikan tersebut dan menyifatkan amalan tersebut sebagai tidak menghormati agama Islam.
"Jika mereka tidak dapat menghormati agama yang ada di negara ini, tidak seharusnya mereka menjalankan perniagaan di sini," katanya kepada mD.
Jelasnya, walaupun majikan beralasan ianya adalah polisi syarikat, tindakan itu juga boleh disifatkan sebagai diskriminasi kepada wanita Islam.
"Bekerja itu adalah ibadat dalam Islam, kita mesti mematuhi hukum Islam dan mengapa mereka tidak diberi pekerjaan sedangkan mereka hanya mengikut perintah Islam.
Tambahnya, perkara itu tidak seharusnya terjadi memandangkan pengetahuan tentang agama Islam telah digunapakai oleh syarikat luar yang bertapak di negara ini sekian lama.
"Contohnya pada tahun 70-an saya diarahkan oleh Tabung Haji untuk memberi ceramah agama kepada beberapa buah kilang di sekitar Lembah Klang dan ketika itu tidak ada seorang pun pekerja kilang yang memakai tudung dan pada tahun 90-an, majoriti telah mengenakan tudung," katanya yang memberi maksud jelas.
"Ini bermakna, syarikat dari luar negara yang beroperasi di sini semakin sedar dan menghormati pekerja beragama Islam, dan kini kenapa sekarang masih timbul isu ini?" katanya.
Wakil Dewan Muslimat PAS Ustazah Rosiah Salleh pula beranggapan halangan itu tidak boleh dikategorikan sebagai diskriminasi terhadap wanita Islam.
"Mereka ada hak untuk memilih, jadi mereka tidak harus menjadikan itu sebagai alasan. Sebagai pekerja, kita harus mengikut peraturan yang ditetapkan majikan dan jika tidak dapat menerima wanita bertudung, seharusnya mereka perlu memohon pekerjaan di tempat lain.
Jelasnya lagi, peluang untuk mendapatkan pekerjaan kini lebih terbuka bagi mereka yang bertudung.
"Ini bukan diskriminasi, mereka mempunyai pilihan untuk memohon pekerjaan di tempat lain yang menerima wanita bertudung", jelasnya ketika dihubungi mD semalam.
Walau bagaimana pun, jelasnya majikan di negara orang Islam ini seharusnya lebih menghormati wanita yang bertudung kerana ianya merupakan tuntutan agama yang wajib dipatuhi.
Berikutan itu, rata-rata komen yang diterima meluahkan rasa kecewa serta tidak releven kerana dikatakan tidak sensitif dengan masyarakat beragama Islam di negara ini.
Kebanyakkan daripada mereka mempersoalkan polisi yang ditetapkan oleh syarikat tersebut serta dianggap tidak menghormati amalan orang Islam di negara ini.
Selain itu ada yang berpendapat syarikat yang mempunyai polisi sebegitu harus diboikot.
Pekerja Harus Patuhi Kod Etika Yang Ditetapkan Majikan
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan, ketika diminta mengulas persama sama, berkata secara prinsipnya majikan boleh melaksananakan Kod Etika Pakaian.
Katanya, setiap pekerja hendaklah mematuhi Kod Etika Pakaian berkenaan termasuklah pemakaian tudung kepala.
"Jika pekerja ditawarkan pekerjaan tetapi tidak boleh mematuhi Kod Etika Pakaian berkenaan termasuklah pemakaian tudung kepala.
"Jika mereka ditawarkan kerja tetapi tidak boleh mematuhi kod etika itu maka mereka berhak untuk tidak menerima tawaran berkenaan dan jika mereka menerima maka mereka terikat dengan polisi yang ditetapkan syarikat", katanya kepada mD menerusi emel.
Katanya, walaupun ianya berkaitan dengan tuntutan agama, namun keputusan perihal pekerjaan adalah terletak kepada individu itu sendiri sama ada boleh melaksanakan polisi syarikat atau tidak.
"Perkara itu tidak boleh dikategorikan sebagai diskriminasi kerana pekerja itu mempunyai pilihan untuk memilih sama ada menerima atau menolak tawaran kerja," jelasnya.
- Malaysian Digest
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment