Pages

Thursday, October 3, 2013

Mashitah Tawar Diri Tanding Exco Wanita Umno


Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim hari ini mengumumkan keputusan menawarkan diri sebagai calon Exco Wanita Umno Malaysia pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Menurut Mashitah, keputusan tersebut setelah mengambil kira pandangan akar umbi yang berpendapat perlunya ada Exco Wanita yang berlatarbelakang agama di dalam pergerakan itu.

"Hajat saya ialah agar dapat turut serta menyumbang kepada usaha memantapkan perjuangan diperingkat pembuat dasar, dan memastikan program meningkatkan syiar Islam dapat dilaksanakan dengan berkesan bersama aktiviti lain.

"Jika terpilih, saya berjanji menggunakan kebolehan dan kemahiran dalam bidang agama untuk berganding bahu dan bersama-sama pemimpin wanita yang lain untuk melakukan nilai tambah dan mempertajamkan peranan Pergerakan Wanita Umno dalam membawa transformasi," kata beliau dalam sidang media di KL Sentral, di sini.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, keputusan beliau menawarkan diri juga adalah sebagai menyahut cabaran dan gesaan pucuk pimpinan agar lebih ramai wanita berketrampilan, proaktif dan tampil ke hadapan dalam usaha memperjuangkan kepentingan dan membela hak wanita.

Ketua Wanita Baling itu berharap walaupun terdapat pertandingan baik diperingkat pucuk pimpinan, exco, bahagian mahupun cawangan, perjuangan Wanita Umno tidak seharusnya mengenepikan sifat-sifat yang baik seperti pengorbanan, taat dan ikhlas.

“Ini penting kita (Wanita Umno) kekalkan untuk berdepan dengan pelbagai agenda dan dakyah pembangkang, terutama daripada Muslimah PAS, Wanita DAP dan PKR bagi memastikan kemenangan yang lebih selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Saya mengharapkan sokongan semua perwakilan daripada Kedah dan seluruh negara dan menyerahkan selebihnya kepada Allah dan para perwakilan,” kata beliau.

Sebelum dikenali sebagai ahli politik, Mashitah sebelum ini lebih popular sebagai penceramah agama dan pakar motivasi dan mempunyai beberapa slot siaran seperti ‘Tanyalah Ustazah’ (TV9), ‘Forum Perdana Hal Ehwal Islam’ (TV1), ‘Sembang-sembang Datuk Mashitah’ dan Panel Jemputan Rancangan 3 Ustazah (Astro Oasis).

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...