Pages

Friday, June 7, 2013

Paul Low tidak akan ‘buktikan’ kejayaan 100 hari di SPRM kerana ia ‘kosmetik’


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low menegaskan beliau tidak akan melayan permintaan “pengkritik” yang mahukan beliau membuktikan hasilnya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas 100 hari dilantik sebagai menteri.

Pelantikan bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M) itu menerima kritikan pelbagai pihak terutamanya dari pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang terkejut dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa masuk aktivis anti rasuah itu ke dalam Kabinet.

“Sesetengah kritikan memberikan saya 100 hari untuk menunjukkan hasilnya. Ya ia memang boleh dilaksanakan, namun ia hanyalah perubahan kosmetik yang saya tidak berminat. Jadi minta maaf, saya akan mengecewakan mereka,” kata Low semasa berucap dalam program bersama SPRM di Putrajaya malam tadi.

Low yang memegang portfolio integriti dan rasuah itu turut berkata sebaliknya beliau menumpukan kepada usaha mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang ataupun perubahan yang dapat menyelesaikan isu pokok dalam setiap isu.

Beliau turut berkata pengkritik juga memberinya tempoh “enam bulan berbulan madu” dengan kerajaan dan mereka jelasnya menjangkakan beliau akan kecewa.

“Sudah tentu mereka tidak sedar saya sudah bersedia untuk jangka masa panjang kerana perjalanan transformasi tidak boleh dilengkapkan dalam tempoh singkat.

“Sesetengah langkah pembaharuan yang diambil perlu lebih radikal, perubahan perlu dilaksanakan dari masa ke semasa dan ianya memerlukan perubahan dalam eko sistem pentadbiran,” tambahnya.

Beliau turut menjangkakan perubahan beberapa siri bagi program integriti juga akan memberikan kesan kepada beberapa kementerian terlibat sehingga sampai kepada agensi utama termasuk kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Ia langkah yang radikal namun perlu bagi Malaysia untuk berada dalam negara berpendapatan tinggi dan terus selamat untuk pelabur daripada kedua-dua punca, domestik dan asing.

Jelasnya lagi, dengan sokongan perdana menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, segala kritikan yang dilemparkan kepadanya juga akan terbukti tidak benar.

“Semua pihak umpama pakar dalam membanteras rasuah dan menjangkakan saya akan melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

“Daripada mengucapkan selamat berjaya kepada saya, mereka sebaliknya menjangkakan saya akan gagal supaya mereka boleh terus mengkritik tanpa mengira betapa ikhlasnya kami,” katanya meluahkan kekecewaan terhadap kritikan yang dilemparkan kepadanya.

“Secara jujur, saya mahukan mereka memberikan saya galakan kerana apa yang saya lakukan juga akan memberikan kesan dan manfaat kepada mereka dan anak-anak mereka sekiranya saya berjaya meningkatkan tadbir urus yang baik dan integriti dalam kerajaan sekarang.

“Sekali lagi menjangkakan saya tidak lagi menjadi ‘lame duck’ tetapi ‘Peking duck,” katanya.

Barisan Nasional (BN) menang tipis dalam Pilihan Raya 2013 dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89.

Parti-parti komponen BN berasaskan Cina seperti MCA dan Gerakan kalah teruk dalam pilihan raya yang diadakan pada 5 Mei itu.

Ini menyebabkan kedua-dua MCA dan Gerakan untuk menolak daripada mengambil sebarang jawatan Kabinet dan kerajaan.

Kemasukkan Low ke dalam Kabinet dilihat untuk mengisi kekosongan kuota bagi masyarakat Cina.

Walau bagaimanapun, pertubuhan berhaluan kanan Cina seperti Dong Zong tidak begitu gembira dengan Low sebagai wakil Cina kerana dikatakan tidak boleh berbahasa Mandarin dengan fasih.





The Malaysian Insider

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...