Pages

Friday, November 19, 2010

Zaid umum tubuh parti baru...harapnya janganlah PKR pula hantar TROJAN HORSE dalam parti baru itu nanti


Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengesahkan penarikan diri beliau sebagai ahli PKR di kediamannya di Tropicana. Menurut beliau, Sekretariat ibu pejabat PKR sudahpun dimaklumkan melalui surat rasmi yang berkuatkuasa pada 16 Disember 2010.

Ketika ditanya apakah signifikan beliau memilih tarikh 16 Disember, beliau sempat menyindir ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata “Kalau Anwar gemar 16 September, maka saya pula suka 16 Disember”.

Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu berkata beliau sudah puas dituduh dan difitnah oleh pemimpin-pemimpin kanan parti itu semata-mata kerana beliau bertanding pada pemilihan parti itu yang sekarang ini sedang HANGIT berlangsung.

“Saifuddin Nasution menuduh saya berniat jahat, kononnya saya telah merancang untuk menubuhkan parti baru sebelum pun saya masuk bertanding, Syed Husin dan Azmin pun sama bercakap tentang niat jahat saya untuk menggugat kepimpinan parti semasa saya mula-mula masuk parti lagi. Sumbangan saya pada parti selama ini pun dikatakan kecil sahaja. Mereka juga berkata bahawa saya ini pemalas, tidak setia dan tidak memahami maksud perjuangan parti,” menurut Zaid.

“Anwar Ibrahim sendiri telah menggelar saya sebagai ‘Trojan Horse’ dan ‘Sore Loser’. Fitnah, putar-belit dan cerita-cerita rekaan ini telah memaksa saya untuk keluar parti ini. Saya tidak rela bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti yang telah mereka lakukan terhadap diri saya,” sambung beliau lagi.

Tambah beliau, niatnya masuk PKR bukanlah untuk melemahkan parti atau untuk menjatuhkan sesiapa pun. Katanya, beliau memasuki PKR dan terus menjadi ahli seumur hidupnya bersama-sama dengan anak-anaknya kerana beliau mahu parti itu menjadi wadah perjuangan reformasi dan keadilan yang tulen, jauh sekali untuk menghancurkannya dari dalam.

“Saya juga merasa yakin bahawa banyak pihak lain yang turut berkongsi kepercayaan dengan saya bahawa mana-mana perjuangan yang didasarkan di atas hasrat untuk menyelamatkan kerenah peribadi pemimpinnya semata-mata adalah perjuangan palsu,” kata Zaid.

“Sewaktu saya meletakkan jawatan sebagai menteri dahulu, saya mahu menegakkan satu prinsip penting iaitu bahawa mana-mana menteri yang tidak boleh menerima keputusan Jemaah Menteri dan Kerajaan mestilah meletakkan jawatan iaitu prinsip ‘Collective Responsibility’,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, baliau meletakkan jawatannya kerana tidak boleh menerima keputusan Kerajaan untuk menggunakan ISA terhadap 3 orang awam. Tapi situasi kini pula berbeza di mana beliau berhenti kerana merasa ianya adalah tindakan wajar apabila beliau tidak lagi dipercayai oleh pemimpin-pemimpin atasan yang menganggapnya sebagai pengkhianat.

Menurutnya lagi, beliau bukanlah penakut dan kaki merajuk.

“Saya akan terus bersama dengan kawan-kawan dalam arena politik bagi memperjuangkan politik yang sihat dan bertanggungjawab demi membela hak rakyat,” tambahnya lagi.

Menurut Zaid, ramai penyokong Anwar telah memberinya amaran bahawa karier politiknya akan hancur selepas ini. Demikian response zaid terhadap mereka:

“Kepada mereka, saya ingin menegaskan bahawa karier politik saya adalah satu perkara kecil sahaja; yang besar dan penting kepada kita semua adalah politik kotor dan penipuan mesti kita tentang walau dari pihak mana sekalipun ia datang; ia tidak boleh sama sekali dibenarkan untuk bertapak di bumi bertuah ini,”.

Dalam masa yang sama, Zaid juga mengumumkan yang beliau akan menubuhkan parti baru dan akan bersiap sedia untuk bertanding pada PRU akan datang. Ditanya beliau akan bertanding di mana, beliau menjawab perkara itu masih sedang dalam penelitian lagi.

Apapun, harapnya cita-cita beliau untuk menubuhkan parti baru itu akan berjaya dan merancakkan lagi dunia politik negara yang semakin mengarut dan gila ini. Namun begitu, harap-harapnya PKR tidaklah menghantar TROJAN HORSE pula di dalam parti baru zaid itu nanti.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...