Pages

Tuesday, July 21, 2009

Mansuh PPSMI: Siapa untung, siapa rugi?

Mayb agk lmbt da utk aku ulas isu neh. tp aku pedulik ape. aku nk ulas gak.

Pada 8 Julai 2009 yang lalu, Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan yang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.
Sejak pengumuman itu dilakukan, pelbagai reaksi diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang mempertikaikan tindakan tersebut dan tidak kurang juga yang gembira dengan keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai kemenangan kepada rakyat.
Jika disorot kepada sejarah penubuhan dasar ini, ianya telah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir pada tahun 2003. Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI, rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.
Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.
Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat Malaysia masih ketinggalan dalam arus globalisasi, dan berharapkan dasar ini memberi kelebihan kepada negara untuk menjadi lebih kompetitif, seperti kejayaan Singapura dan India yang semakin maju kerana penggunaan bahasa Inggeris yang meluas diamalkan di kedua-dua negara tersebut.
Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI telah menghadapi banyak tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak seperti ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut adalah kesukaran murid-murid dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.

Selain itu ramai pihak berpendapat kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang telah didedahkan dengan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka.
Kemuncak kepada bantahan ini adalah demonstrasi jalanan yang dilakukan yang turut melibatkan ahli politik, pakar bahasa dan sasterawan. Akibat daripada bantahan yang berterusan dan semakin keras menjadi penyebab kepada keputusan kerajaan memansuhkan dasar ini.
Jika difikir secara mendalam, dasar yang dicadangkan oleh Tun Dr. Mahathir ini boleh memberikan manfaat yang sangat besar kepada negara. Seperti mana yang kita tahu, Tun adalah seorang yang sangat berfikiran jauh sebelum melaksanakan sesuatu keputusan. Dan telah terbukti bahawa kebanyakan keputusan yang telah beliau lakukan untuk negara telah membuahkan hasil yang sangat membanggakan kita.
Ambil contoh ketika zaman awal penubuhun Edaran Otomobil Nasional (EON). Ramai pihak ketika itu mempertikaikan tindakan beliau kerana Malaysia pada waktu itu adalah sebuah negara yang perteraskan kepada aktiviti pertanian. Namun kini kita dapat saksikan kereta buatan Malaysia bukan sahaja menyusur laju di jalanraya negara kita, bahkan juga di negara luar.
Kaitkannya dengan PPSMI, sewajarnya kita beri masa untuk kita melihat hasil daripada pelaksanaannya. Tidak rugi kiranya kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk dua subjek tersebut dan ianya langsung tidak mencemar kedaulatan bahasa kebangsaan jika difikirkan secara rasional.
Mungkin ramai yang tidak tahu atau pura-pura tidak tahu bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa perniagaan antarabangsa. Maknanya untuk menguasai ekonomi kita juga haruslah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Bukan berniat meminggirkan bahasa Melayu, tetapi realitinya adalah bahasa tersebut bukan lagi bahasa yang menjadi “lingua franca” seperti yang pernah dikecapi sewaktu zaman kegemilangan Melaka berkurun lama dahulu. Kita harus berpijak di bumi yang nyata bahawa bahasa yang diterima antarabangsa adalah bahasa Inggeris. Jesteru untuk mengelakkan kita yang sememangnya ketinggalan ini dari terus ketinggalan, maka tidak salah kiranya kita mempertingkatkan penguasaan berbahasa Inggeris.
Satu persoalan yang ingin dibangkitkan, adakah penglibatan ahli politik di dalam isu ini adalah ikhlas ataupun sekadar mahu meraih populariti di mata rakyat? Jika direnungkan, dalang disebalik bantahan keras diterima kerajaan adalah barisan pemimpin pembangkang yang kerja mereka semestinya membangkang setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Keikhlasan mereka memperjuangkan isu ini boleh dipersoalkan kerana mereka hanya mencari kesalahan atau kekurangan kerajaan dalam mentadbir negara. Tindakan pemimpin politik ini boleh dilabelkan sebagai populis yang hanya mahu menjadi wira di mata rakyat demi mencapai cita-cita politik mereka.
Tindakan kerajaan yang akhirnya menurut kepada desakan masyarakat yang telah diracuni pemikiran mereka dengan dakyah pembangkang pula menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan. Sebagai pihak yang mentadbir, setiap keputusan adalah di tangan mereka. Setiap keputusan yang member manfaat kepada kerajaan adalah sesuatu yang dibincang dan diusulkan secara professional bukannya melalui demonstrasi jalanan. Dengan keputusan ini jelas menunjukkan kerajaan mudah tunduk dan tidak kuat dalam menerima tekanan. Selepas ini tidak hairan jika lebih banyak demonstrasi jalanan akan berlaku kerana rakyat telah beranggapan kerajaan lemah dalam menerima tekanan mereka.
Jesteru itu, siapa yang untung dengan pemansuhan ini? Kerajaan? Rakyat? Atau pemimpin pembangkang? Sama-sama kita fikir. Isu PPSMI sudah selesai dan tidak hairan jika tidak lama lagi kerajaan akan berdepan pula dengan bantahan keras “rakyat” yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

1 comment :

Salamua'limah said...

english just a tool..
kalu nk kuatkan english, bkn by sc n math subject..ksian kat bdk kg especially..content x pat, dok terkial2 nk fhm bhsa.so y not sc in malay!!ye mansuh PPsmi!!
kalu nk kuatkan english bdk2, tmbh la subjek english kat timetable!!!
hek

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...