Pages

Sunday, January 23, 2011

Interlok dan Kontroversi Rasis


Selepas 40 tahun karya ini menemui khalayak, secara tiba-tiba Interlok menjadi isu dan kontroversi yang mencemaskan tatkala ia menemui pelajar selepas dipilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS). Alasan yang dilemparkan adalah ia bersifat rasis dan menghina kaum tertentu dan oleh itu tidak wajar dijadikan bahan pelajaran di sekolah kerana ada kaum yang berasa terhina disebabkan perkataan seperti paria dan pelukisan perihal kasta yang menjadi amalan masyarakat India.



Tentunya, boleh difahami bahawa isu ini telah dibawa keluar daripada konteks sastera dan menjadi isu politik, atau dipolitikkan sehingga ada yang melatah dan melenting dan membakar novel ini. Apakah kesalahan besar novel ini, atau dosa Interlok kepada masyarakat India. Tentunya, amat mendukacitakan cita tindakan seperti ini, atau sebarang ulasan yang mengecam dan membidas Interlok tidak melalui proses pembacaan, pemahaman dan pencerahan yang mendalam.


Kita juga tidak boleh menjadi emosional dalam perkara seperti ini kerana sesuatu isu boleh menjadi melarat kepada hal-hal lain, apatah lagi dalam konteks negara berbilang bangsa seperti Malaysia. Lantas, mari kita melihat segala kisah yang dipaparkan dalam novel Interlok ini, sama ada edisi asal atau Edisi Murid dalam konteks realiti sosial dan zaman yang diangkat, dan membuka minda kita tentang sejarah dan perjuangan bangsa, berjuang untuk membina kehidupan daripada serba kedaifan kepada kehidupan yang lebih bermakna.


Soal rasis atau menghina kaum tidak boleh dilihat sebagai suatu yang tegar dan totok dalam teks Interlok, sebaliknya, ia elemen yang membentuk bangsa-bangsa yang berasingan dalam suatu peradaban baru di bumi Tanah Melayu dan Malaysia. Sebelum kita menjatuhkan talak bahawa Sasterawan Negara Abdullah Hussein bersikap rasis, adalah lebih baik kita membaca dan memahami karya ini.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...