Pages

Tuesday, October 5, 2010

Siapa Raja di Hati Pembangkang?


Melihatkan kepada perilaku dan gelagat sebilangan besar pemimpin dan pengikut Pakatan Rakyat (PR) membuatkan saya tertanya-tanya siapakah Raja ataupun Sultan di hati mereka. Tidak keterlaluan jika saya sifatkan tindakan mereka itu sebagai MEMALUKAN, TIDAK BERADAP dan GILA KUASA.

Saya ambil contoh peristiwa yang berlaku di Perak selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2008 yang lalu. Satu insiden memalukan yang boleh dilabel sebagai penghinaan kepada institusi raja telah dilakukan oleh PR terhadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada mesyuarat pertama penggal kedua sidang DUN Perak.

Dalam kejadian yang penuh drama itu menyaksikan ADUN-ADUN PR seperti hilang kewarasan sehingga menjadikan situasi tegang yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara. Keadaan itu juga menyebabkan Raja Dr. Nazrin terpaksa menunggu sehingga hampir lima jam sebelum dapat menyempurnakan majlis perasmian. Sungguh memalukan. Belum pernah dalam sejarah negara Raja diganggu sedemikian.

Selain itu, kejadian itu juga mencerminkan betapa Datuk Seri Nizar Jamaluddin tidak jujur terhadap apa yang dituturkannya. Memetik kata-kata beliau tentang isu di Perak, berikut adalah apa yang dikatakan beliau sebelum Sultan Perak membuat keputusan:

“Keputusan sama ada negeri ini (Perak) akan ditadbir di bawah kepimpinan baru atau menghadapi pilihan raya semula akan ditentukan oleh Sultan Perak,” kata Nizar ketika itu.

Selain itu, beliau juga menambah yang beliau akan akur dengan apa sahaja keputusan Sultan Perak dan akan menerima apa juga ketetapan yang bakal dibuat oleh Seri Paduka Sultan. Tetapi keadaan adalah sebaliknya sebaik sahaja Sultan membuat keputusan. Bahkan isu itu juga turut dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Malah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengingkari titah Sultan apabila mengarahkan Nizar terus memegang jawatan. Pada pandangan sesetengah pihak, perbuatan Anwar telah secara jelas menderhaka kepada sultan, biadap dan tidak menghormati undang-undang tubuh negeri dan prinsip Raja Berperlembagaan di negara ini.

Cerita PR tidak hormat kepada institusi beraja bukan hanya berlaku di Perak sahaja, bahkan juga di negeri-negeri lain. Sebagai contoh di Selangor. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan bahawa sebarang bentuk ceramah politik di tempat ibadah adalah tidak dibenarkan di Selangor.

Titah Sultan Sharafuddin ibarat tidak laku pada pemimpin-pemimpin pembangkang apabila mereka terus ghairah menjadikan masjid sebagai medan berpolitik. Tindakan beberapa ahli Yang Berhormat mereka seolah-olah memperlekehkan titah sultan. Malah ahli-ahli yang berhormat yang bukan beragama Islam juga turut galak memperlekehkan titah sultan itu.

Tindakan ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berucap di surau Al-Huda telah mendatangkan murka Sultan Selangor yang kemudiannya menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu. Drama penderhakaan itu tidak berakhir di situ sahaja apabila Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa MAIS menyiasat perkara itu dengan terperinci, tindakan yang seolah-olah tidak menghiraukan titah Sultan itu.

Selain itu, terdapat satu lagi peristiwa yang pada saya agak melucukan tetapi tidak sepatutnya berlaku. Lebih malang lagi apabila ianya dilakukan oleh pemimpin parti yang memperjuangkan Islam, PAS. Peristiwa yang berlaku di Masjid As-Salam, Bukit Sentosa ketika hangatnya pilihan raya kecil Hulu Selangor itu adalah sesuatu yang memalukan parti tersebut lebih-lebih lagi ianya dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali. Mungkin akibat terlalu ghairah ‘berkempen’ di dalam khutbahnya menyebabkan beliau terlupa membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang merupakan rukun khutbah solat Jumaat. Akibatnya kira-kira 3000 jemaah yang hadir ke masjid itu hanya menunaikan solat Zuhur sahaja.

Kejadian ‘Khatib terlupa membaca selawat’ ini mungkin ‘tulah’ yang jatuh ke atas Hassan kerana mengingkari titah sultan.

Jika hendak diceritakan tentang tindakan-tindakan ahli politik pembangkang ini ingkar terhadap titah sultan mungkin boleh mengambil masa dua hari atau lebih untuk dihabiskan. Ibarat setiap titah raja itu tidak mempunyai value pada pandangan mereka. Tetapi yang peliknya, saya dapati hanya ada seorang sahaja raja yang dihormati oleh pakatan pembangkang. Setiap ‘titah’ raja tersebut pasti akan dijunjung sepenuh hati oleh mereka. Apa yang diutarakan oleh raja tersebut pasti akan menerima kepercayaan sepenuh jiwa oleh mereka. Ibarat tiada apa yang lebih benar melainkan yang benar-benar belaka ‘titah’ raja itu.

Siapakah raja bertuah yang bertakhta di hati pemimpin pembangkang dan pengikut mereka itu? Tidak lain tidak bukan adalah pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin. Masakan tidak, setiap apa yang diperkatakan oleh Raja Petra pasti akan dipercayai oleh mereka. Boleh diibaratkan, setiap kali Raja Petra ‘bertitah’, ianya ibarat wahyu kepada pemimpin-pemimpin pembangkang dan pengikut-pengikut mereka.

Salah satu contoh ‘titah’beliau yang terkenal adalah apabila mengaitkan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor di dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribu. Beliau ‘bertitah’ yang beliau memiliki bukti kukuh mengaitkan PM dengan Altantuya, namun sehingga sekarang bukti kukuh yang didakwanya itu tidak didedahkan. Sebaliknya beliau sekarang ‘membawa diri’ ke luar negara. Yang peliknya, walaupun selepas peristiwa itu, pengikut ‘baginda raja’ tidak berkurang, sebaliknya semakin bertambah.

Selain itu, Raja Petra juga memainkan peranan dengan baik sekali di dalam isu mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri beliau, iaitu kes liwat Anwar terhadap bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. ‘Titahnya’ yang mengatakan bahawa Saiful mempunyai hubungan romantik dengan timbalan pendakwa raya kes tersebut, Farah Azlina Latif telah menyebabkan wanita itu digugurkan dari perbicaraan kes tersebut. Betapa hebatnya penangan raja ini.

Tidak ketinggalan, ‘ugutan’ Raja Petra untuk berhenti menyokong pembangkang juga menyebabkan mereka tidak tentu hala. Masakan tidak, Raja sudah ‘murka’. Betapa pentingnya beliau di mata pembangkang.

Saya cuba membayangkan, jika ditakdirkan sekiranya Pakatan Rakyat mampu mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang, saya tidak pelik sekiranya Raja Petra ini dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong kerana nampaknya hanya titah beliau yang dijunjung oleh Pakatan Pembangkang.





(Artikel ini turut diterbitkan di www.malaysiandigest.com)

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...