Pages

Tuesday, August 4, 2009

JANGAN LUPA SEJARAH!!!

Pribumi Malaysia, terutamanya orang Melayu ketika ini sedang dilanda dilema politik dan ekonomi yang jika tidak dibendung mampu memberi kesan yang sangat perit untuk diterima. Hakikat fenomena ini tidak boleh kita nafikan. Terdapat pelbagai faktor-faktor penyebabnya yang sudah, sedang atau akan berlaku di depan mata kita. Kesannya sedang kita rasakan samada kita sedari ataupun tidak.
Implikasi daripada dilema ini semakin mencabar dan jika kita tidak atau gagal menanganinya boleh menyebabkan maruah kita sebagai orang Melayu yang sering menjaja frasa “ketuanan Melayu” tergadai. Tidak mustahil satu hari nanti tanah air kita yang suatu ketika dahulu digelar Persekutuan Tanah Melayu akan ditadbir atau dalam erti lain menjadi milik bangsa lain.
Bukan mahu bersifat perkauman atau sebagainya, tapi seperti mana yang dapat kita lihat kuasa Melayu dalam pemerintahan Malaysia kini semakin hari kelihatan seolah-olah kian terhakis. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008 adalah manifestasinya.
Baru-baru ini, UMNO yang merupakan parti terbesar yang mewakili orang Melayu telah dilanda krisis kredibiliti dan dicemari amalan rasuah politik yang serius. Tindakan disiplin kepada beberapa calon jawatan utama UMNO dalam pemilihan parti berkenaan pada Mac 2009 yang lalu adalah buktinya.
Selain itu pada hujung tahun lalu, kewibawaan UMNO selaku teras kepada Barisan Nasional telah dipersendakan oleh beberapa parti komponen BN sendiri. Kontroversi mengenai ketuanan Melayu dan asal-usul Melayu yang dicetuskan oleh MCA dan Gerakan pada Disember 2008 adalah bukti kepada fenomena ini.

Fenomena ini bukan hanya melanda UMNO sahaja. Parti-parti Melayu alternatif, khususnya Pas juga berada dalam keadaan yang dipertikaikan. Sikap, gelagat, kenyataan serta tindakan sesetengah pemimpin serta penyokong Pas baru-baru ini menjadikan persepsi ini lebih berasas.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti pelbagai etnik yang majoriti pemimpinnya adalah Melayu, kini seakan-akan mempertaruhkan nasib dan masa depan bangsa Melayu kepada segolongan pemimpin politik bukan Melayu, semata-mata kerana pemimpin besar parti berkenaan dikatakan terlalu ghairah untuk berkuasa. Krisis moral pemimpin tertentu dalam PKR kini menjadikan parti itu lebih gawat.
Dewasa ini juga dapat diperhatikan hak-hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam perdagangan, perniagaan dan pendidikan diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu. Desakan terhadap kuota biasiswa pelajar Melayu dan Bumiputera, serta kritikan mereka terhadap kuota 30 peratus dalam ekonomi negara yang dikhaskan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah contoh mengenainya.
Jika dirujuk kepada kamus Dewan Bahasa ataupun Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu adalah didefinisikan sebagai pribumi Malaysia yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu manakala orang Cina dan orang India yang kini jadi rakyat Malaysia, asal usulnya adalah daripada tanah besar China dan India. Nenek moyang mereka telah dibawa masuk ke Tanah Melayu secara besar-besaran oleh penjajah British mulai tahun 1871.

Inilah bezanya orang Melayu dengan keturunan Cina dan India di negara ini. Orang Melayu adalah pribumi yang sememangnya berasal daripada negara ini. Oleh sebab itulah orang yang paling berkuasa ataupun ketua negara bagi Malaysia adalah orang Melayu, iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh sebab itu juga agama rasmi kita adalah Agama Islam. Namun begitu agama lain tidak dihalang daripada dianuti ataupun diamalkan oleh penduduk negara ini. Selain itu,bahasa kebangsaan Malaysia adalah Bahasa Melayu berdasarkan kepada alasan yang telah diberikan. Oleh sebab itu juga, walaupun Perlembagaan Persekutuan memaktubkan soal-soal equality kepada semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan Bumiputera tetap menerima hak dan keistimewaan menerusi Artikel 153 dalam Perlembagaan yang sama.
Berdasarkan semua ini, orang Melayu dan Bumiputera mestilah pertahankan keistimewaan ini. Kita wajar bersuara dengan tegas, kita adalah pribumi Malaysia. Pertelingkahan sesama kita haruslah dielakkan demi memastikan bangsa kita tidak lagi dipijak. Kita mestilah bersatu dalam menghadapi pelbagai permasalahan yang sedang melanda bangsa kita. Jangan sekali-kali kita lupa kepada sejarah di mana bangsa kita yang suatu ketika dahulu merupakan salah satu bangsa yang berjaya telah dijajah selama beratus tahun disebabkan kealpaan serta budaya mementingkan diri sendiri mereka. Kita selaku generasi yang berwawasan haruslah memastikan kejayaan bangsa kita dalam mengharungi era yang semakin mencabar ini.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...