Pages

Saturday, October 19, 2013

Pemilihan semula tentukan siapa Naib Ketua Pemuda UMNO



Siapa bakal menduduki kerusi panas Naib Ketua Pemuda UMNO hanya diketahui Rabu depan setelah Jawatankuasa Pemilihan UMNO membuat keputusan supaya diadakan pemilihan semula di tiga bahagian sayap pergerakan itu.

Pengerusinya, Tan Sri Tajol Rosli dalam sidang medianya petang Jumaat, memaklumkan kedua-dua calon telah bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula secara serentak di bahagian Sabak Bernam, Bachok dan Gelang Patah.


“Dalam perjumpaan dengan kedua-dua calon, ada tiga bahagian undian yang dipertikai kedua-dua pihak, tetapi kesemua telah bersetuju supaya diadakan pengundian semula di tiga bahagian itu untuk menentukan kemenangan.

“Yang menang tidak dapat semua dan yang kalah tidak hilang semua dan inilah pendapat yang dikongsikan bersama oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin,” kata Tajol di ibu pejabat UMNO, Jumaat.

Selain pertembungan diantara dua calon Jamawi Jaafar dan Khairul Azwan Harun yang sebelum ini dikatakan terikat dengan keputusan seri 73-73, pemilihan semula itu juga turut  melibatkan dua calon lain Lokman Adam yang mendapat 18 undi dan Mohamad Iruan Zulkefli, 26 undi dalam pemilihan jawatan itu Sabtu lalu.

Menurut Tajol, pemilihan semula tersebut akan menggunakan sistem ‘electoral college’ di mana bilangan undi terbanyak yang diperolehi oleh seseorang calon akan dikira sebagai satu undi dan keputusan dijangka diketahui pada hari sama.

Jamawi yang turut hadir dalam sidang media tersebut berkata beliau menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan berhubung status jawatan naib ketua Pemuda Umno yang telah “tergantung” hampir lima hari.

“Saya terima dengan hati terbuka untuk menentukan pemenang Naib Ketua Pemuda berdasarkan kepada tiga bahagian Pemuda yang akan bersidang semula pada Rabu.

“Saya sebagai seorang yang mendokong institusi pemuda UMNO, akan terus memberikan sepenuh kepercayaan kepada jawatankuasa pemilihan dan saya berikrar sekiranya  tidak memenangi undi di ketiga-tiga bahagian tersebut maka saya akan tetap menyumbangkan jasa pada UMNO,” katanya.

Lawannya, Khairul Azwan turut berkongsi perkara yang sama dan menyifatkan kesepakatan itu dicapai atas semangat kekeluargaan dan kepentingan parti.

“Kita dalam pertandingan yang bersifat kekeluargaan. Jadi saya rasa tidak perlu ada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej parti. Saya sendiri meletakkan jauh kepentingan peribadi dan meletakkan kepentingan parti itu mengatasi kepentingan peribadi,” jelasnya. 18/10/2013


- bnbbc.my

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...