Pages

Saturday, October 19, 2013

Harus ada MT wakili setiap negeri


“Kita kena bersabar ketika berkempen, dalam bertanding ini ada menang ada kalah…yang kalah jangan marah sangat, yang menang pun jangan buang semua yang kalah,” begitulah pesanan Datuk Seri Mustapha Mohamed kepada semua calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Pa berkata konsep yang diterapkan itulah yang mampu menjamin keharmonian dan perpaduan parti selama ini.


Dalam pemilihan kali ini, beliau yang bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) membawa misi bagi memperkasakan UMNO dengan memberi tumpuan khusus untuk memikat hati orang muda dan golongan agama.

Jelasnya, untuk memenangi pilihan raya akan datang adalah dengan memenangi hati rakyat.

“Tidak guna kita kerja kuat ke sana ke mari tetapi kita kalah dalam pilihan raya…orang muda dan golongan agama, saya rasa ini kumpulan yang paling penting dan harus dibawa bersama dengan kita,” kata beliau ketika ditemui bnbbc.my di pejabatnya di Kementerian Perdagangan Industri dan Antarabangsa, Khamis.

Kesibukkan tugasan di luar negara menyebabkan beliau tidak dapat berkempen dan menyertai sebarang jelajah pengenalan calon yang dibuat oleh ibu pejabat UMNO diseluruh negara.

Bagaimanapun, tugasan berkempen itu terpaksa diserahkannya kepada wakil-wakilnya yang hadir disetiap program jelajah tersebut.

Tok Pa juga turut yakin kira-kira 150,000 perwakilan yang bijak mampu membuat pilihan yang tepat dengan memilih tokoh-tokoh yang banyak berjasa kepada negara.

Menurut Mustapha, dalam memilih pimpinan Majlis Tertinggi (MT), beliau menegaskan perwakilan perlu memastikan setiap kumpulan, kelompok dan kawasan dalam negara ada wakilnya.

“Ini penting untuk memastikan negara kita terus diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa.

“Harus ada MT untuk mewakili negeri-negeri, golongan pelapis, wanita, golongan agama, profesional dan wakil-wakil kementerian…bagi saya inilah kriteria yang kita yakin perwakilan akan gunakan untuk memilih MT,” kata ahli Parlimen Jeli itu.

Ditanya mengenai beberapa insiden kekecohan yang berlaku dalam pemilihan sayap Sabtu lalu, beliau meminta semua yang terlibat mengambil ikhtibar dengan apa yang berlaku supaya kejadian yang sama tidak berulang. 17/10/2013


- bnbbc.my

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...