Saya memohon maaf kepada banyak pihak termasuk media kerana telah mengelak untuk memberikan kenyataan atau sebarang komen pasca pemilihan KEADILAN 2010.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua teman-teman yang memberikan sokongan yang amat memberangsangkan kepada saya dan barisan calon - calon yang bersetuju dengan dokumen Manifestasi Anak Muda - Penerus Perjuangan Reformasi. Kita telah berjaya menggariskan dengan jelas 3 cabaran terbesar, 3 saran gerak kerja dan 5 pelaksanaan praktikal. Manifestasi Anak Muda Malaysia ialah manifesto yang jelas dan praktikal bagi mereformasi AMK dan seterusnya mampu menyerlahkan politik baru dan reformasi yang dilaungkan.
Penghargaan yang tidak terhingga kepada semua teman dari Perlis sampai ke Sabah yang bertungkus lumus menjadi jentera kempen dan pemantau proses pengundian. Kita berjaya melakukan sesuatu yang membanggakan dalam penuh tekanan 'pengaruh' dan kewangan. Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus. Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respon bertulis setakat ini.
Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan KEADILAN 2010. Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan.
Saya tidak kecewa kerana saya tewas, kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia.
Yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut.
Melaksanakan agenda 1 anggota 1 undi adalah satu penciptaan sejarah yang berani. Amat memahami ini proses baru dan banyak kelemahan, tetapi tidak sama sekali berkompromi apabila alasan baru itu sebagai alasan untuk melakukan ketidak telusan dan 'menyapu dibawah pemaidani'. Pertikaian muncul dari proses penamaan pemilihan cabang, pencalonan jawatan pusat dalam mesyuarat cabang, proses pengundian pusat sehinggalah pemilihan Pengerusi Tetap dengan cara angkat tangan. Semua yang hadir termasuk pemerhati dan media menyaksikan bagaimana undi angkat tangan memilih pengerusi tetap dalam Kongres AMK Pusat pun kiraannya ditipu.
Sehubungan dengan itu saya juga menolak semua jawatan lantikan yang bakal ditawarkan selagi tidak mendapat penjelasan bertulis mengenai apa yang saya bangkitkan dalam bantahan. Ini bukan soal jawatan tapi soal ketelusan. Jika saya menerima lantikan dalam keadaan aduan saya juga gagal diperjelas secara bertulis ini akan membawa erti saya berkompromi dengan sesuatu yang saya pertikaikan sendiri.
Jawatan bukan alasan untuk bekerja. Saya tegaskan tanpa jawatan peringkat pusat saya akan terus setia dalam memperkasakan parti. Saya masih yakin KEADILAN merupakan parti terbaik dalam melaksanakan reformasi dalam negara. Namun KEADILAN juga seharusnya sedia dalam menjamin demokrasi yang telus dalam parti.
No comments :
Post a Comment