Pages

Tuesday, October 22, 2013

Isu K-Pop: Bukan Shabery sahaja yang perlu bertanggungjawab - Tony Pua


Anggota Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menggesa supaya tindakan diambil ke atas semua ahli yang terlibat dalam jawatankuasa berhubung peruntukan RM1.6 juta bagi persembahan artis K-Pop pada Hari Belia 2012.

Katanya, tanggungjawab tidak harus diletakkan pada bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sahaja.

Sebaliknya, menurut Pua, seluruh jawatankuasa kolektif yang membuat keputusan menjalankan konsert itu perlu bertanggungjawab dan diambil tindakan disiplin.


"Ini merupakan suatu keputusan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan disiplin atau surcaj perlu diambil. Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh mengelakkan kesalahan mereka dengan mengalihkan tanggungjawab kepada 'keputusan jawatankuasa'.

"Kalau keputusan ini benar-benar diputuskan secara jawatankuasa tanpa sebarang pimpinan dari sesiapa pun, tindakan perlu diambil keatas semua ahli yang mengambil bahagian dalam jawatankuasa tersebut, kata Pua dalam sidang media di lobi Parlimen pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan Ahmad Shabery yang mahu memberikan penjelasannya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disiarkan secara langsung esok.

Beliau juga mengharapkan Peraturan Mesyuarat Parlimen Perkara 85 dapat diubahsuai supaya hasrat Shabery berkenaan dapat dijalankan.

Selain itu, Pua turut mendesak supaya tindakan mahkamah dikenakan terhadap syarikat swasta yang memberikan janji kosong untuk menaja konsert tersebut.

"Jika perangai membuat perbelanjaan yang besar diputuskan atas janji-janji kosong daripada pihak swasta untuk menaja sebarang program tidak dihukum, ini akan memberikan mesej yang salah kepada semua kementerian bahawa ini merupakan perkara yang tidak diambil berat oleh kerajaan," katanya.

Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaluddin dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam berkata, Unit Pemasaran dan Penajaan Hari Belia negara mendekati beberapa syarikat korporat bagi mendapatkan tajaan.

Walaupun mendapat pengesahan secara lisan namun Khairy berkata pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan sekiranya syarikat tersebut menarik diri pada saat akhir kerana penajaan diberikan atas dasar Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat.

Katanya lagi, pihak kementerian tidak ingin menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara tersebut ia merupakan program kerajaan dalam menghargai serta mengiktiraf sumbangan golongan belia kepada negara.

Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya bagi 2012 yang dikeluarkan pada awal Oktober menegur perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan untuk Hari Belia Negara 2012 (HBN) yang diadakan pada Mei tahun lalu dan menyifatkannya sebagai 'tidak berhemat'.

Antara perkara utama diketengahkan oleh Laporan Audit Negara 2012 itu ialah berkenaan perbelanjaan tinggi bagi artis K-Pop pada HBN yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta.

Jabatan Audit turut menyifatkan perbelanjaan tersebut sebagai 'tidak selaras dengan peraturan perbelanjaan berhemat'.


- Astro Awani

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...