Pages

Sunday, May 19, 2013

Inisiatif Terbaru SPAD Naik Taraf Industri Pengangkutan Awam Di KLIA


 
Pastinya tumpuan hampir seluruh rakyat Malaysia terarah kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung senarai nama ahli jemaah Kabinet bagi sesi 2013 - 2018 susulan kejayaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan tampuk kuasanya di peringkat persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, 5 Mei lalu.

Dan macam biasa, pelbagai reaksi telah dilontarkan oleh kita, rakyat Malaysia, yang secara tidak rasmi terkenal sebagai pengkritik tegar apa juga isu yang timbul di sekeliling kita. Pelbagai telahan serta kritikan yang baik membina, mahupun menghentam dapat kita saksikan susulan daripada pengumuman tersebut.

Dalam keasyikan kita memfokuskan perhatian kepada senarai Kabinet itu, dalam sedar tak sedar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari yang sama telah melaksanakan satu lagi inisiatifnya ke arah memperkasakan bidang pengangkutan awam di negara ini selain memberi ruang kepada individu-individu yang terlibat secara langsung 'cari makan' dalam industri ini untuk menambah pendapatan mereka.

Sememangnya mengikuti rapat perkembangan badan ini yang ditubuhkan sekitar 2010 yang lalu, secara jujurnya Ketam berpendapat kesungguhan organisasi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar ini di dalam melaksanakan amanah Datuk Seri Najib untuk melaksanakan transformasi dalam bidang pengangkutan awam tidak dapat dipertikaikan.

Pelbagai inisiatif telah dilaksana oleh SPAD sejak dari mula ia diwujudkan. Dan yang penting sekali adalah usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif yang diketengahkan oleh anak-anak buah Tan Sri Syed Hamid ini seolah-olah tidak ada perhentian. Buktinya telah kita saksikan sebelum ini bila mana lepas satu, satu inisiatif telah diketengahkan SPAD. Antaranya ialah pemberian baucar tayar untuk pemandu teksi, program Teksi Rakyat 1Malaysia dan juga pemberian lesen individu kepada pemandu teksi.

Kelmarin, Syed Hamid telah secara rasminya mengumumkan sesuatu yang boleh diibaratkan sebagai satu lagi 'rahmat' kepada para pemandu teksi iaitu penarikan semula sementara larangan kepada pemandu teksi bandar daripada mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam erti kata lain, bermula dari semalam secara rasminya pemandu teksi bandar boleh mengambil penumpang di KLIA.

Memetik laporan media, Syed Hamid menjelaskan bahawa ia merupakan satu langkah percubaan selama tiga bulan bagi melihat sejauh mana keberkesanannya dalam menangani masalah berbangkit.

Untuk rekod, sebelum ini pemandu teksi bandar hanya dibenarkan untuk menurunkan penumpang sahaja memandangkan sejak dari mula KLIA beroperasi pada 1997, perkhidmatan awam teksi di lapangan terbang itu hanya boleh dikendalikan oleh Airport Limo (ALM).

Namun begitu situasi semasa yang menyaksikan permintaan terhadap perkhidmatan tersebut telah meningkat ke sekitar 25,500 penumpang sehari tidak lagi dapat ditampung ALM. Kesannya, banyak rungutan telah diterima terutamanya daripada pelancong asing berhubung kelewatan mendapatkan perkhidmatan teksi sebaik sahaja tiba di Malaysia. Ini tentu sahaja memberikan imej yang tidak baik kepada negara sekiranya tidak dibendung dengan segera.

Susulan itulah SPAD tampil dengan inisiatif ini yang mana Ketam sangat-sangat yakin ianya adalah begitu dialu-alukan oleh para pemandu teksi bandar.

Tidak menjejaskan operasi ALM, selain dari dapat memulihkan imej negara di 'pintu masuk', penumpang juga secara tidak langsung turut terkena tempias manfaat daripada pelaksanaannya. Jika selama ini penumpang sedikit merungut tentang caj perkhidmatan ALM yang agak tinggi, kini para penumpang sudah mempunyai lebih banyak pilihan untuk menggunakan perkhidmatan yang dirasakan menepati selera mereka.


Sambung



No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...