Pages

Wednesday, August 24, 2011

Tips Menghadapi Interview. Sekadar berkongsi


Ketam mungkin bernasib baik kerana perjalanan Ketam di dalam mencari kerjaya berjalan dengan begitu lancar sekali. Syukur kepada Tuhan. Namun begitu masih terdapat segelintir rakan dan kenalan yang masih belum dikurniakan rezeki di dalam kerjaya. Oleh itu posting kali ini Ketam ingin berkongsi sedikit tips menghadiri temuduga yang Ketam petik dari buku ‘Berjaya Dalam Kerjaya’ selenggaraan Theresa Ong. Diharapkan posting ini sedikit sebanyak boleh membantu anda di dalam proses mendapatkan kerjaya pilihan anda, Insyaallah.
Berikut adalah 11 perkara yang boleh anda lakukan ketika menghadiri temuduga:


1 Tiba lebih awal
Rancang perjalanan anda agar tiba di tempat temuduga sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal. Kalau dapat tiba 30 minit sebelum masa temuduga adalah lebih baik. Ini bagi memastikan anda tidak terkandas dalam kesesakan lalu lintas yang tidak dapat dijangka sekaligus membendung perasaan gemuruh. Ruang waktu yang ada (jika anda sampai lebih awal) akan memberikan anda masa untuk menenangkan fikiran dan lebih bersedia.
2. Bawa salinan dokumen yang tepat.
Ini adalah peluang terbaik untuk anda mempersembahkan apa yang telah anda lakukan. Anda juga perlu membawa bersama salinan sijil-sijil yang berkaitan (jika ada).
3. Ketahui nama dengan tepat.
Pastikan anda mengetahui nama, sebutan dan jawatan si penemu duga dengan tepat. Dengar dengan teliti ketika mereka memperkenalkan diri. Ulangi atau bertanya jika anda tidak mendengar dengan jelas. Minta kad nama mereka dengan hormat sebelum memohon diri. Adalah tidak sopan jika anda meminta kad nama mereka ketika duduk. Kad nama tersebut akan memberikan anda maklumat yang diperlukan untuk menulis nota terima kasih tidak kira anda menerima berita baik atau tidak.
4. Gambaran pertama.
Temuduga bermula sebaik sahaja anda melangkah masuk syarikat tersebut. Bermula dari saat anda sampai, seseorang akan memerhatikan cara anda berpakaian, menyapa penyambut tetamu dan bersalaman. Adakah anda berpakaian kemas dan menyenangkan? Adakah anda bersalaman dengan tegas atau tidak bermaya? Selepas perbualanringan yang berfungsi sebagai pembuka bicara, temu duga akan bermula. Biasanya ia akan bermula dengan “Cuba ceritakan sedikit mengenai diri anda”. Selepas beberapa soalan ringan seperti “Apakah anda menghadapi masalah mencari tempat ini?”, “Bagaimana anda datang?” dan lain-lain, penemu duga mungkin akan bertanya soalan yang menuntut jawapan yang tidak berkesudahan. Ini adalah kerana penemu duga ingin menguji teknik pembentangan anda dan juga keyakinan anda . dengan kata lain, menguji cara anda berkomunikasi. Mereka juga mencari peluang untuk menanya soalan yang berkaitan dengan apa yang telah anda ceritakan mengenai diri sendiri. Mereka mungkin akan bertanya mengenai pengalaman tertentu anda atau meminta anda memberikan contoh tentang sesuatu situasi.
5. Tingkah laku
Duduk secara tegak dan kekalkan eye contact yang baik sepanjang sesi temu duga. Ini dapat menunjukkan keyakinan dan kekuatan anda. Elakkan menggoyangkan kaki atau memandang kea rah lain.
6. Bersopan santun
Anda perlu bersopan santun sebaik sahaja memasuki syarikat berkenaan. Ini adalah penting kerana anda tidak tahu dengan siapa akan anda terserempak dan berkemungkinan besar individu tersebut berkuasa memutuskan samada mahu mengambil anda bekerja atau tidak.
7. Jawab dengan tepat
Dengar soalan dengan teliti dan jawab dengan tepat. Jika anda tidak tahu jawapannya, anda patut mengaku dengan ikhlas.
8. Jangan menggelabah
Kadangkala penemu duga akan mendiamkan diri selepas anda menjawab sesuatu soalan. Ini tentunya akan menyebabkan anda rasa resah, namun begitu jangan anda bersuara bagi memecahkan kesunyian itu. Elakkan mengeluarkan perkataan-perkataan seperti “Um”, “Uh”, “seperti”, “Apa tu”, “Err” dan lain-lain. jika anda gemuruh, cuba tarik nafas panjang dan bertenang. Ambil sedikit masa sebelum kembali berbicara.
9. Menyediakan soalan
Apabila penemuduga betanya “adakah anda ingin bertanya sesuatu?” atau “adakah anda mempunyai sebarang soalan?”, apakah jawapan anda? Jika anda hanya senyum dan menjawab, “Tidak, tidak ada apa-apa”, jawapan ini pastinya akan menghasilkan gambaran yang tidak baik tentang diri anda. Anda sepatutnya menjawab “Tidak ada apa-apa buat masa ini, terima kasih”. Namun demikian, adalah lebih baik jika anda dapat menyediakan beberapa soalan. Contohnya “saya difahamkan syarikat ini mempunyai 300 orang pekerja, adakah ini benar?” atau “apakah jenis program latihan atau suai kenal yang disediakan untuk pekerja baru?”
10. Gaji
Walaupun pendapatan atau gaji merupakan salah satu perkara yang perlu diambil kira semasa memohon sesuatu pekerjaan, namun begitu, jangan anda biarkan perkara ini mendesak anda. Adalah lebih penting bagi anda mendengar dan memberikan sebab mengapa syarikat tersebut patut mengambil anda bekerja. Jangan berbincang tentang wang ringgit dahulu. Jika penemu duga mengutarakan perkara tersebut, bersedialah. Anda perlu mengkaji terlebih dahulu harga pasaran bagi jawatan yang dipohon.
11. Maklum balas
Bertanyalah dengan penuh sopan mengenai jangka masa anda boleh mendapat maklum balas hasil daripada temuduga tersebut. Pastikan anda mempunyai nama dan butiran lengkap mengenai penemu duga tersebut. Jika anda tidak mendapat maklum balas dalam tempoh yang dijanjikan, anda boleh membuat panggilan susulan.
Demikianlah sedikit informasi yang dapat Ketam kongsikan untuk hari ini. Diharapkan ianya dapat sedikit sebanyak membantu anda. Kita hanya berusaha tapi Tuhan yang menentukan segalanya.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...