Tuesday, May 21, 2013
Kejayaan Tawan Everest Bukti Kehebatan Warga Felda
Misi Everest-Felda 2013 yang melibatkan tujuh pendaki telah berjaya diselesaikan apabila 5 dari 7 pendaki tiba di puncak tertinggi iaitu 8,848 meter dari paras laut, pada jam 10.15 pagi, 21hb Mei 2013.
Pendakian ini sekali gus meletakkan satu rekod baru dalam sejarah pendakian gunung tertinggi itu oleh rakyat Malaysia kerana diketuai oleh seorang wanita Islam termuda iaitu Siti Hanisah Sharuddin yang berusia 23 tahun.
Ekspedisi ini dianjurkan oleh Kelab Ekplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) dengan kerjasama Majlis Belia Felda serta mendapat tajaan dari Felda dan Felda Global Ventures Holding (FGVH). Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) sedang melaksanakan Projek Ekspedisi 7 Puncak 7 Benua 7 Nilai atau lebih dikenali sebagai 7 Summit's Expedition dalam usaha meletakkan nama Malaysia dalam peta pendakian dunia.
Selain Gunung Everest, Program 7 Summit's Expedition ini melibatkan pendakian ke Gunung Everest, misi pendakian yang lain adalah Gunung McKinley (Benua Amerika Utara), Gunung Kilimanjaro (Benua Afrika), Gunung Elbrus (Benua Eropah), Gunung Aconcagua (Benua Amerika Selatan), Gunung Vinson Massif (Benua Antartika) dan Gunung Casztern Pyramid (Benua Oceanic).
Misi kali ini lebih menarik kerana ia melibatkan anak-anak Felda secara langsung, di mana 4 dari mereka dibentuk untuk menjadi pendaki utama dengan objektif jangka panjang untuk melahirkan Everest Speaker & Motivator.
Secara keseluruhannya, misi ini membuktikan kebolehan anak-anak Felda untuk menyahut cabaran serta merealisasikan impian.
Walaupun Felda sering dirujuk sebagai kawasan yang ‘jauh ke dalam’ di mana warganya dikatakan mempunyai pergaulan dan pandangan yang terhad, tetapi itu tidak bermakna yang mereka tidak mampu untuk menguasai dunia. Segalanya mungkin dengan azam dan usaha.
Mendaki puncak tertinggi seperti Everest memerlukan bukan sahaja kecerdasan fizikal tetapi mental. Dan yang lebih penting ialah keupayaan mengawal diri dalam menerima cabaran selain fokus dan tekad untuk menyelesaikan apa yang telah dirancang dan diusahakan.
Bak kata orang yang bijaksana, yang penting bukan apa yang ada di puncak atau apa yang ada di sebalik gunung. Tetapi, pendakian itulah ganjarannya.
Melalui satu ekspedisi yang begitu mencabar minda dan tenaga mampu menjadikan kita seorang manusia yang lebih baik. Ini kerana, ia mendedahkan kita bukan sahaja kepada ragam dan karenah orang di sekeliling kita yang turut tertekan dan tercabar oleh keadaan, tetapi juga kita akan belajar mengenali diri sendiri melalui cara kita mengendalikan situasi selain dapat menilai tahap kekuatan diri.
Semua ini merupakan pengetahuan yang penting dalam kehidupan seharian selain menjadi pedoman di masa depan.
Oleh itu, kejayaan anak-anak Felda menawan Everest bukanlah satu pencapaian yang bersifat sementara, sebaliknya ia merupakan ‘tanda aras’ mengenai kemampuan sebenar anak-anak Felda yang sewajarnya setanding dengan jenama ‘Felda’ itu sendiri iaitu sebuah organisasi gergasi bertaraf dunia.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment