Nasib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seburuk yang digambarkan kerana diberi peluang yang luas untuk membela diri ketika usul pengantungannya dikemukakan di Dewan Rakyat berbanding dengan nasib yang pernah menimpa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Selangor yang digantung Dewan Undangan Negeri Selangor sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata keistimewaan yang diberikan kepada Anwar itu membuktikan terbukaan Dewan Rakyat berbanding dengan sikap kepimpinan pakatan pembangkang di Selangor.
“Kami dahulu tidak diberi peluang langsung untuk membela diri, malah semua kemudahan termasuk elaun pun ditarik sepanjang tempoh pengantungan berbanding dengan Anwar dan rakan-rakannya yang hanya tidak dibenarkan menghadiri sidang dewan sahaja."“Dah diberi peluang tak nak gunakan, mereka salah gunakan peluang yang diberi kemudian buat pelbagai tuduhan terhadap BN, mereka itu memang sengaja untuk menjadikan isu bagi menutup masalah yang mereka hadapi terutamanya PKR”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Mohd Isa adalah antara lima wakil rakyat BN yang digantung DUN Selangor termasuk Datuk Seri Mohd. Khir Toyo (Sungai Panjang), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar ( Hulu Bernam), Datuk Warno Dogol (Sabak) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil).
Kesemua mereka dikenakan hukuman gantung daripada menghadiri siding DUN selama enam bulan, manakala Khir Toyo dikenakan selama setahun. Segala kemudahan sebagai wakil rakyat ditarik sepanjang tempoh pengantungan.
Semalam, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul pengantungan selama enam bulan terhadap Anwar Ibrahim serta tiga lagi ahli Parlimen, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) dari menghadiri persidangan berikutan isu firma perunding antarabangsa Apco Worldwide.
Ketika perbahasan usul pergantungan itu, persidangan Dewan Rakyat menjadi kecoh dan huru-hara berikutan cubaan ahli parlimen pembangkang menganggu perbahasan dengan tujuan untuk menangguhkan persidangan itu bagi membolehkan usul berkenaan tidak dibahas dan tiada keputusan dibuat.
Mohd Isa berkata apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu menunjukkan wajah sebenar pembangkang yang sengaja mencari isu dan kemudian memutar belitkan apa yang berlaku bagi mengelirukan rakyat.
Menurutnya, apa yang berlaku itu menunjukkan sikap tidak profesional serta bertamadun pembangkang yang sengaja menjadikan kekecohan di Dewan Rakyat sebagai modal mereka untuk memburuk-burukkan BN.
“Itulah pembangkang, mereka akan cuba sedaya upaya untuk memburuk-burukkan kerajaan dan BN, sedangkan apa yang dilakukan oleh mereka lebih teruk apabila memiliki kuasa, apakah kita mahu negara ini diperintah oleh pemimpin sebegini.
“Rakyat tidak harus tertipu dengan sandiwara mereka, rakyat boleh menilai apa yang berlaku di Parlimen dengan di Selangor, ceritanya lebih kurang sama tetapi kita tidak melakukan seperti apa yang mereka buat,” katanya.
Mohd Isa berkata, kekecohan tidak akan berlaku jika pembangkang mematuhi peraturan dan prosuder yang ditetapkan seperti mana yang dilakukan oleh Adun BN yang dikenakan tindakan serupa di DUN Selangor.
No comments :
Post a Comment