Pages

Monday, December 13, 2010

Chegu Bard Jangan Macam-macam


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak yang membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk Badrul Hisham Shaharin — bekas calon jawatan ketua sayap Pemuda PKR yang tewas supaya jangan bertindak tergopoh-gopoh.

Sehubungan itu, Saifuddin meminta Badrul Hisham, yang kelmarin menegaskan tidak mengiktiraf keputusan pemilihan yang baru lalu, supaya bersabar menanti penemuan ke atas aduan-aduan aduan yang dibuat berhubung pemilihan pucuk kepimpinan pusat.

Tambah Saifuddin, JPP masih menjalankan siasatan terhadap setiap aduan yang dikemukakan.
Sepanjang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijalankan sebanyak 18 aduan telah dikemukakan kepada JPP manakala bagi pemilihan cabang pula sebanyak 289 aduan.

“Aduan sekarang di atas meja JPP, jadi kita serah kepada JPP untuk menyiasat setiap aduan yang dikemukakan sepanjang pemilihan berlangsung.

“Semua aduan yang dikemukakan masih belum selesai, JPP masih menyiasat setiap aduan.

“JPP tahu tanggungjawab terhadap aduan yang dikemukakan itu, kita biarkan proses siasatan ini berjalan,” kata Saifuddin.


Beliau juga mahu semua pihak memberikan ruang kepada JPP untuk menyiasat dengan teliti setiap aduan yang dikemukakan.

“Lagipun kita baru habis kongres, sudah tentu siasatan terhadap aduan ini masih lagi berjalan. Jadi saya harap kita beri masa kepada JPP untuk menyiasatnya.

“Bukan semua aduan akan selesai cepat, ada aduan yang kita kena panggil pengadu jadi kena sabarlah.

“Kita juga perlu hormati proses siasatan ini, kepada mereka yang kemukakan aduan kita harap bersabar. Serah kepada JPP untuk siasat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan Badrul Hisham atau lebih dikenali “Chegubard” akan menjejaskan PKR, Saifuddin bagaimanapun berkata, tumpuan sekarang adalah pilihan raya umum ke-13.

“Kita serahkan kepada JPP untuk siasat, isu kita sekarang adalah menghadapi pilihan raya umum.

“Fokus kita adalah memperkuatkan parti dan juga Pakatan Rakyat,” katanya.

Kelmarin, Badrul Hisham berkata, beliau tidak mengiktiraf keputusan pertandingan jawatan Angkatan Muda Keadilan yang diumumkan 26 November lalu.

Malah, Ketua PKR Rembau ini juga berkata, beliau tidak akan menerima apa jua jawatan selagi segala aduan mengenai kecacatan dan kepincangan pemilihan dijawab dengan rasmi oleh jawatankuasa pemilihan.

“Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan PKR 2010.

“Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan,” katanya.

“Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.

“Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respons bertulis setakat ini,” katanya.

Dalam kenyataan pertama selepas Kongres Nasional PKR Ketujuh baru-baru ini, Badrul Hisham berkata, beliau tidak kecewa kerana tewas pemilihan yang julung kali menggunakan sistem secara langsung.

“Kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam (Angkatan Muda Keadilan) AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia,” katanya.
Badrul Hisham tewas dalam persaingan satu lawan satu di tangan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mempertahankan jawatannya dengan majoriti lebih 1,000 undi.

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...