Pages

Sunday, October 20, 2013

Pemilihan MT UMNO 2013-2016: Trio Naib Presiden UMNO kekal


Semua tiga penyandang jawatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disahkan kekal dalam jawatan maing-masing dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) parti itu pada Sabtu.

Pengumuman rasmi keputusan bagi tiga jawatan yang menjadi tumpuan ramai itu dibuat tepat jam 1.40 pagi Ahad oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013, Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali di Pusat Media Pemilihan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Tajol membuat pengesahan dalam satu sidang media ringkas setelah kiraan undi 188 daripada 191 bahagian disahkan, dengan Ahmad Zahid memperoleh 185 undi bahagian, Mohd. Shafie 174 dan Hishammuddin 100 undi.

Manakala pesaing terdekat Hishamuddin untuk mengisi kerusi ketiga jawatan berkenaan, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir pula mendapat 91 undi bahagian.

Mukhriz bagaimanapun mengatasi Hishammuddin dari segi undi popular dengan mendapat 55,290 undi perwakilan berbanding Hishammuddin 54,829 undi perwakilan.

Tajol turut memaklumkan terdapat tiga bahagian di mana undian terhadap Hishamuddin dan Mukhriz mencatat keputusan seri.

Namun tiga bahagian berkenaan iaitu Baling, Kedah serta Semporna dan Keningau di Sabah tidak diarah membuat kiraan semula memandangkan Hishamuddin sudah mengatasi Mukhriz dengan sembilan undi.

Sementara itu, dua lagi calon, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam masing-masing sekadar mendapat tujuh undi.

Keputusan rasmi bagi 25 jawatan Ahli Majlis Tertinggi pula dijangka diumumkan oleh Tajol jam 5 petang Ahad di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, PWTC.-20/10/2013


- bnbbc.my

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...