Pages

Monday, November 29, 2010

ISU AIR : KEMBALIKAN HAK AIR KEPADA RAKYAT



Sebagai bahagian dalam pelaksanaan penstrukturan semula di peringkat kebangsaan, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mengambil alih kesemua aset dan ekuiti daripada empat syarikat industri air di negeri ini. Alasan utama bagi melaksanakan tujuan tersebut melibatkan keinginan bagi memastikan pengurusan industri air dilaksanakan dengan lebih baik dan lebih cekap, pengagihan air yang lebih merata, dan bagi memastikan tarif air dikekalkan pada kadar rendah. Tegasnya, kepentingan rakyat lebih diutamakan dalam usaha pengambilalihan industri air ini nanti.

Pada awal tahun 2008 Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) ada menghantar surat kepada Kerajaan Negeri bagi memohon pertambahan tarif mulai Januari 2009, tetapi ditangguhkan ke 31 Mac 2009. Pada Disember 2008, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi YB Datuk Shaziman Abu Mansor pula menyatakan bahawa menurut perjanjian konsesi, tarif air di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur boleh dinaikkan sehingga 37% pada Januari 2009. Walau bagaimanapun, tindakan ini ditunda ke 31 Mac bagi membolehkan proses penstrukturan semula industri air di Selangor. Dalam perjanjian tersebut, lebih banyak kenaikan tarif air dijangka berlaku pada sehingga tahun 2035; iaitu kenaikan 25% pada tahun 2005, 10% pada tahun 2019, dan 5% pada tahun-tahun 2021, 2024, 2027 dan 2030.

Amalan pengambilan alihan ini sebenarnya dilakukan sejajar dengan keinginan Kerajaan Pusat untuk mewujudkan hanya satu industri air menerusi penggabungan beberapa syarikat air. Daripada perspektif Kerajaan Negeri, penggabungan kesemua industri air di Selangor merupakan satu amalan yang bersifat holistik kerana dapat mengurangi pembaziran dan pemilikan beberapa pihak. Daripada segi lain pula, matlamat utamanya penggabungan industri air ini bagi menghindar berlakunya peningkatan tarif terutamanya dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang melanda ke seluruh dunia sekarang. 

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...